Anwar Bertanding Di Parlimen Kulim-Bandar Baharu?

Dikirim dalam Catatan, Kritik, Politik dengan label , pada Julai 25, 2008 oleh admin

Kedengaran khabar-khabar yang Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di dalam Pilihanraya Kecil (PRK) tidak lama lagi. Kawasannya? Parlimen P18 Kulim Bandar Baharu!

Kawasan ini dulunya merupakan kawasan bekas Menteri Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan iaitu Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Kemudiannya pada PRU-12 menyaksikan kerusi ini beralih kepada KeADILan melalui peguam yang lantang memperjuangkan kes murtad, Zulkifli Noordin. YB Zul menewaskan adik Abdul Kadir, iaitu Datuk Aziz Sheikh Fadzir dengan kelebihan 5,583 undi. Tetapi keputusan PRU12 untuk kawasan ini sedang dicabar oleh Aziz kerana beliau mendakwa YB Zul tidak menyerahkan Penyata Perbelanjaan PRU11 pada 2004, di mana pada ketika itu YB Zul bertanding di Parlimen Kuala Langat.

Perasaan saya bercampur-campur mengenai perkara ini.

Saya gembira kerana akhirnya ada ‘move’ yang diambil oleh Anwar untuk bertanding. Setidak-tidaknya ini boleh menamatkan teka teki di kalangan penyokong Pakatan Rakyat apa langkah Anwar selepas PRU12 memihak kepada Pakatan Rakyat.

Pun begitu saya sedikit gusar akan beberapa perkara. Saya tegaskan, ini pendapat peribadi saya, justeru ini yang saya fikirkan:

(i) Kenapa Kulim-Bandar Baharu? Saya pernah ke Parlimen, dan saya menyaksikan prestasi YB Zul adalah membanggakan. Justeru, kehilangan YB Zul (Pada hemat saya) sedikit sebanyak mengesani blok pembangkang di Parlimen.

(ii) Kenapa bukan Bandar Tun Razak? Bukankah lebih baik, demi memastikan Selangor tidak menerima nasib seperti Terengganu, Tan Sri Khalid Ibrahim menumpukan perhatian sepenuhnya di peringkat DUN, dan biarkan Parlimen BTR dipimpin Anwar. Lagipun dari beberapa aspek, kawasan bandar seperti BTR, pengaruh Anwar bukan sedikit.

(iii) Kenapa tidak Permatang Pauh atau Lembah Pantai? Saya tidak fikir gandingan Anwar-Azizah-Izzah di Parlimen perlu wujud. Saya cenderung untuk memilih sama ada Anwar-Azizah atau Anwar-Izzah, tetapi gandingan ‘tiga serangkai’ dikhuatiri akan menyebabkan serangan bertalu-talu ke atas KeADILan sendiri.

Itulah pendapat saya. Pun begitu, serahkan sesuatu kepada yang pakar. Lapangan politik, saya serah kepada orang politik. Mereka pasti punya percaturan yang terbaik.

Dan kita? berdoa agar hak kita sebagai rakyat terus terbela.

Muzakarah: Realpolitik Menenggelamkan Prinsip?

Dikirim dalam Kritik, Politik pada Julai 22, 2008 oleh admin

Panjang lebar saya menulis dalam entri terdahulu.

Penting sangatkah isu ini sehingga perlu saya menulis lagi?

Sebenarnya saya telah mendengar berkenaan ura-ura muafakat Pas-Umno selepas sahaja 8 Mac 2008 lagi. Berita ini hangat dimaklumkan oleh rakan-rakan di Selangor khususnya.

Khabarnya muafakat di dalam Pakatan Rakyat tidak menguntungkan Pas. Sampai ke satu tahap ada kalangan pimpinan kanan Pas yang mengjengah pimpinan Umno untuk berkongsi kuasa. Tetapi saya tidak ambil pusing, masakan Pas yang teguh prinsipnya sanggup ‘memutarkan jarum jam perjuangan’ mereka ke belakang?

Justeru saya masih husnuzzan.

Beberapa ketika dahulu saya kerap membaca mengenai ada ura-ura MP daripada Pas yang akan berhijrah bermuafakat dengan Umno di sebalik MP-MP BN dikhabarkan menyeberang ke Pakatan Rakyat. Rakan blogger, Mat Saman Kati pun bukan sikit-sikit menulis berkenaan hal ini.

Saya mula rasa canggung.

Tetapi apabila didedahkan PM bahawa ada komunikasi, ada muzakarah, Ustaz Hadi pun mengaku, saya goyang sedikit. Dan tatkala tersiar artikel ‘ahli Pas dalaman’ di dalam Laman Marhaen semalam, secara peribadi saya fikir ‘ini bukan cobaan, ini betul-betul!’

Pendedahan YB Ir. Khalid Samad, MP Pas Shah Alam sedikit sebanyak memberi kesan. ‘Mendengar tawaran Umno’? Seolah-olah Pas dalam keadaan sedang mempertimbangkan ‘tawaran’ tersebut. Alhamdulillah penjelasan YB Khalid boleh saya terima, secara peribadi.

Usaha muzakarah ini bukan baru. Sewaktu pasca PRU-10 1999 dahulu, heboh ada muzakarah antara Umno dan Pas yang melibatkan Tun Dr. Mahathir dan Almarhum Ustaz Fadzil. Umno diketuai Tan Sri (sekarang Tun) Khalil Yaakob dan Pas diketuai Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Tetapi kebijaksanaan Ustaz Fadzil ternyata menguntungkan Pas apabila 3 syarat diberikan kepada Umno, iaitu:

(i) Jangan gugurkan nama Islam dalam mana-mana pertubuhan politik;
(ii) Harakah dikembalikan 2 kali seminggu; dan
(iii) Kembalikan royalti minyak Negeri Terengganu.

Walhasil muzakarah ini terus terhenti.

Percaturan Ustaz Fadzil pada ketika itu, kalaulah ditakdirkan muzakarah itu dimanipulasi Umno sehabis mungkin, setidak-tidaknya ada ‘kemenangan’ di pihak Pas. Dan pastinya pada ketika itu, pimpinan Umno menghenyak pimpinan Pas kononnya tidak ikhlas dan sebagainya.

Kini, ‘muzakarah’ dicanang semula, seusai 10 tahun nada yang sama dilaung hampir 10 tahun yang lepas.
Bezanya kali ini ialah, wujud ‘bunyi-bunyi’ kononnya perkongsian kuasa sebagai galang ganti. Didedahkan di dalam Malaysiakini semalam bahawa ada tawaran untuk Pas mengepalai kerajaan Negeri Selangor tatkala Pakatan sahih dinobatkan kerajaan baru Selangor. Bukan mudah mahukan Dr Khir Toyo sanggup menjadi Timbalan MB!

Alhamdulillah masih ada hujah-hujah rasional mempertahankan perlunya Pas mengelak daripada ‘periuk api’ baru ini, contohnya seperti Tok Guru Nik Aziz dan YB Husam Musa.

Saya percaya bahawa perjuangan yang bersendikan Islam tidak akan tunduk kepada kuasa. Islam tidak menghalalkan machiavellisme, justeru tidak boleh berkompromi dengan realpolitik dengan menggadaikan prinsip.

Meskipun Saidina Uthman ibn Affan pernah mengatakan bahawa ‘hanya kekuasaan boleh merubah sesuatu,’ tidaklah pula ia membawa justifikasi bersekongkol dengan benda yang salah akan menjadi ‘halal’ demi memartabatkan sesuatu yang suci.

Kalau ini berlaku, maka pakatlah ramai-ramai kalangan kita menjadi ‘Robin Hood’, melakukan kejahatan demi menghentikan penindasan.

Siapalah saya untuk bercakap dalam jalur-jalur dakwah. Saya hanya insan kecil. Tidak layak mempertikaikan kredibiliti mana-mana ulama atau pimpinan Pas yang menyokong muzakarah. Tetapi saya bersetuju dengan Sdr Bakaq, janganlah bertindak di luar jangka atas nama Melayu dan Islam. Jangan lacurkan kedua-duanya.

Pas pernah menerima aib pada tahun 1978, sebaik sahaja mereka diterajang keluar daripada BN. Malah tidak keterlaluan dikatakan Pas adalah merupakan parti politik yang paling banyak diuji dalam landskap politik negara dek hegemoni politik acuan pemerintah. Alhamdulillah 12 tahun selepas itu dikurniakan Kelantan kepada Pas, yang kekal sehingga ke hari ini.

Saya khuatir, sekiranya mereka terus redha ‘bersama’ dan ‘husnuzzan’ sekali lagi, ditakdirkan Tuhan mereka ‘tersungkur’ sekali lagi, apakah selepas itu, rakyat boleh terus bersangka baik selepas rakyat memberi peringatan yang bukan sedikit?

Jangan Lacurkan Harapan Rakyat

Dikirim dalam Kritik, Politik pada Julai 20, 2008 oleh admin

Apabila rakyat - melalui sistem pilihanraya yang penuh sangsi dan pertikaian - bertekad memberi kemenangan 81+1 kerusi kepada Pakatan Rakyat sekaligus menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, pertimbangan rakyat adalah jelas: bosan dan penat dengan sebarang bentuk elemen penindasan samada dalam konteks politik mahupun ekonomi.

Rakyat kelihatan sanggup melangkah ke satu era baru yang tidak pernah terjangkau dek pemikiran mana-mana penganut politik feudal, iaitu keluar dari kepompong perkauman untuk menyatakan sokongan kepada politik baru: politik yang meletakkan janji untuk membela rakyat atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Orang India dan Cina sudah berani membawa panji PAS, orang Melayu hadir ke ceramah anjuran DAP, ceramah anjuran KeADILan menyaksikan betapa muafakat kaum bisa terjalin di bawah satu wadah politik. Ini realiti Malaysia era PRU-12.

Siapa sangka PAS akan menang di Parlimen Kota Raja yang majoriti pengundi adalah pengundi India? Siapa jangka DAP boleh tembus di Johor dengan 4 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen? Siapa menduga Lembah Pantai bisa diwakili seorang wanita muda yang baru bertatih dalam kareer politikya menewaskan penyandang yang sinonim dengan Lembah Pantai buat sekian lamanya?

Ini politik baru. Politik yang rakyat galaskan harapan untuk keluar daripada kepompong politik busuk lagi membusukkan. Rakyat penat ditindas, rakyat jelak diperbodohkan.

Justeru apabila wujud desas-desus Pakatan Rakyat bergolak yang memungkinkan Pas keluar daripada Pakatan, saya hanya mampu senyum tawar. Tambahan pula kuat benar anginnya bahawa wujud ‘muzakarah’ antara Umno dan Pas mutakhir ini.

Saya cenderung untuk tidak percaya bulat-bulat perkara ini, kerana saya percaya Islam menolak politik penindasan. Mustahil harakah politik Islam terbesar di Malaysia sanggup bersekongkol dengan politik yang menindas di sebalik slogan ‘kemaslahatan melayu dan islam’.

Pun begitu, politik ialah art of possibility, seni segala mungkin. Hari ini boleh di atas, esok terperosok di bawah. Hari ini mencaci memaki, esok berlaga pipi.

Saya sebetulnya canggung jika konsert Mas Idayu dan Ella, insiden Alak Carburator Dung melondehkan seluar menjadi semacam satu bentuk klimaks kepada hujung pangkal survival Pakatan sehingga memaksa Pas keluar daripada Pakatan. Apa kurangnya dengan konsert Inul Daratista yang bakal berlangsung buat kali kedua di Malaysia nanti (khabarnya dibatalkan sehingga Inul hampir pengsan!), adakah bila berbeza kabilah akan menyebabkan mereka sokong dengan nada yang berbeza?

Saya bukan orang politik, saya bukan ahli mana-mana pertubuhan politik. Tetapi saya perlu akui, dalam politik, kiblat saya adalah idea, bukan ikon ataupun platform. Idea yang saya junjung ialah idea yang memulangkan yang hak kepada yang berhak, yakni rakyat.

Analogi mudah, letakkan matlamat kita untuk membajak sawah. pastinya kita menggunakan kerbau ataupun mesin membajak sawah sebagai platform mencapai matlamat. Adalah ‘cerdik ya amat’ sekiranya sawah dibajak menggunakan Porshe atau basikal. Maknanya, melampiaskan matlamat perlulah menggunakan platform yang sesuai.

Saya orang Melayu, beragama Islam. Saya sayangkan kedua-duanya. Pun begitu saya tidak boleh terima sama sekali, atas nama Melayu dan Islam penindasan menjadi sesuatu yang dihalalkan dalam apa bentuk cara.

Budak darjah 1 kalau terus disuruh menduduki peperiksaan SPM tanpa kefahaman, itu kerja bodoh. Sebab itu dia perlu diajar apa itu matematik, apa itu sejarah, apa itu pendidikan Islam, barulah dia boleh dikatakan bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM.

Muafakat Pakatan perlu menjangkau politik bijak dan matang. Dalam hal ini KeADILan dan DAP tidak boleh terkecuali.

Kita akui bahawa konsep dan amalan demokrasi merupakan anutan politik Malaysia. Tetapi itu tidak bermakna ia mesti menafikan bahawa demokrasi perlu berada di atas mana-mana agama dan bangsa sehingga mengabaikan ketuanan rakyat secara keseluruhannya. Demokrasi haruslah bersifat menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa, tanpa menafikan hak mana-mana agama dan bangsa sebagaimana yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks ini DAP juga perlu bijak menyesuaikan Malaysia Malaysiannya dengan realiti politik Malaysia. Persoalan sekular ataupun tidak tidak pernah difikirkan rakyat secara serius. Tidak timbul persoalan bahawa negara teokrasi akan mengambil tempat jika Islam menjadi tunjang.

Islam itu indah, tetapi keindahannya bukan mudah difahami majoriti rakyat. Sebab itulah, saya percaya bahawa solusi terbaik ialah lapisan dakwah amalan Rasulullah SAW. Dengan golongan jahil, lain kaedahnya. Golongan menengah lain kaedahnya. Golongan ahli kitab lain pendekatannya.

Islam bukan bersifat menghukum, itu haram itu halal. Ada justifikasi di sebalik setiap garis hukum. Tetapi apakah rakyat khususnya bukan Islam faham? Mana lebih penting, laksanakan hukum dahulu, ataupun beri penerangan baru laksanakan?

Di sini tanggungjawab Pas perlu lebih efisyen. Penerangan dan penjelasan dengan kaedah hikmah dan berhemah perlu agar melembutkan hati-hati yang mungkin benak untuk menerima Islam.

Susah untuk orang terima jika hukum menjadi pendekatan terus-menerus. Sebaliknya didik dan terang, itu paling perlu.

KeADILan juga tidak boleh menjadi terlalu populis dan bermain ‘politik selamat’ untuk meraih sokongan bukan Melayu/Islam. KeADILan, sebagaimana jaminan Anwar Ibrahim, perlu terus tegar menjamin nilai Islam dan Melayu tanpa mengabaikan agama dan bangsa lain.

Saya sendiri begitu maklum bagaimana KeADILan diberikan kerusi yang tidak selamat, atau dalam bahasa strategi pilihanraya “kerusi kelas C” kerana terpaksa akur dengan kehendak PAS dan DAP. Bukan sedikit keluh kesal pimpinan KeADILan yang sampai ke telinga saya, dek kerana tidak boleh menyerlahkan potensi di kerusi yang mereka berpotensi menang. Laluan terpaksa diberi KeADILan kepada PAS dan DAP di kebanyakan tempat. Tetapi kemenangan KeADILan menunjangi Pakatan di dalam Parlimen perlu difahami bahawa rakyat selesa dengan KeADILan.

Maka KeADILan perlu menggambarkan kematangan dan kebijaksanaan berpolitik yang lebih tinggi agar mampu menunjangi Pakatan, tidak sekadar bersifat populis semata-mata.

Justeru persefahaman perlulah dicapai melalui kebijaksanaan pimpinan KeADILan, PAS dan DAP untuk memulangkan yang hak kepada yang berhak, yakni rakyat. Tidak perlu ada yang tergadai, tidak perlu ada yang tercalar, jika muafakat dicapai dengan penuh hikmah dan persefahaman.

Pakatan Rakyat, secara teorinya baru bersama kurang daripada setahun, malah belum menjangkau 6 bulan pun. Justeru pasti ada terlebih terkurang di sana sini. Apatah lagi Pakatan menggabungkan 3 entiti politik yang berbeza sudut sisi ideologi politiknya,maka memang wujud perbezaan mahupun percanggahan pendapat. Tetapi itulah realiti muafakat, menilai kecerdikan di sebalik masalah yang tersirat.

Sebab itulah jangan sesekalipun, mana-mana pihak ‘dipatuk ular dua kali dalam lubang yang sama.’ Saya perlu akur, saya bukan da’ie yang faham jalur-jalur dakwah. Tetapi saya percaya kompromi itu ada batasnya, dan bukan kuasa sebagai galang ganti prinsip.

Pandangan saya mungkin saja dicemuh ‘bersifat idealis’, ‘tidak realistik’, dan ‘tidak faham politik’. Tapi saya percaya, majoriti daripada 27 juta rakyat Malaysia tidak kenal erti ‘real politic’, mereka cuma tidak mahu sepak terajang politik kepartian melacur hak mereka. Mereka hanya mahu hidup dalam keadaan yang sejahtera di bawah kepimpinan negara yang adil dan berwibawa.

Perjuangan ini menuntut pengorbanan. Rakyatlah yang bakal tersempit atau untung di sebalik bidak-bidak catur politikus matang mahupun mengkal.

Jangan lacurkan hak rakyat. Seinci kamu menyimpang, seribu batu rugi ditanggung.

Semoga Allah Selamatkan Malaysia

Dikirim dalam Politik pada Julai 20, 2008 oleh admin

Anwar Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis Khamis lepas, Alhamdulillah. Selepas hujahnya memukau rakyat hari Selasa, Rabu beliau mengalami de javu apabila ditahan pada jam 1.05 petang, kurang 55 minit daripada deadline yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya menerima info berkenaan penahanan beliau melalui panggilan telefon Najwan dan sms daripada Amin, hari Rabu beberapa minit sebelum jam 1.30 tengahari. Sangat pelik, Buletin 1.30 di TV3 semalam tidak langsung menyiarkan penahanan beliau, sebaliknya hanya menyiarkan kenyataan Anwar di BPR Putrajaya. Rakaman ini seolah-olah menggambarkan tidak ada apa-apa insiden berlaku sehinggalah meletus berita mengenai penahanan Anwar lewat petang Rabu lepas bertebaran di internet.

Kini isu DNA pula menjadi isu. Saya pelik, dalam keadaan DNA ini, sekiranya diambil daripada seorang bayi kecil sekalipun,ia akan kekal dan tidak berubah strukturnya sehinggalah jasad itu tidak bernyawa. Justeru untuk apa dipertahankan tindakan ‘memperbaharui’ rekod DNA? Hanya filem siri James Bond, ‘Die Another Day’ sahaja wujud pertukaran DNA ini, dalam dunia realiti, saya kurang arif.

Saya cuma berharap insiden September 1998 tidak berulang lagi. Saya cuma berdoa, agar Allah kurniakan yang terbaik buat Malaysia. Semoga kekuasaanNya merungkai segala perkara yang berserabut ketika ini.

Pasca Debat Anwar vs Shabery - Satu Analisis Amatur

Dikirim dalam Analisa, Politik pada Julai 16, 2008 oleh admin

dsai-shabery

Sejarah tercipta malam ini. Debat yang diiktiraf sebagai memahat sejarah baru dalam landskap politik negara berjalan dalam suasana yang lancar, meskipun saya, pastinya turut dikongsi rakan-rakan lain, sedikit kesal dengan pengurangan waktu debat daripada 1 jam setengah kepada 52 minit. Tak apa, itu isu kecil.

Sebagaimana yang saya ulas dalam entri terdahulu, saya tidak berminat melihat siapa menang siapa kalah dalam debat ini. Tetapi saya lebih gemar untuk meneliti siapa yang paling memanfaatkan ruang perdebatan, antara Datuk Shabery Cheek dan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Malaysiakini dan Anil Netto ada membuat ulasan yang lebih terperinci, boleh di baca di sini (Mkini BM), di sini (Mkini English) dan di sini (Anil Netto). Dalam masa yang sama pembaca juga boleh membuat undian untuk menilai keputusan akhir debat semalam di sini.

Saya akan melihat dalam dua konteks, pertamanya disiplin debat dan keduanya perspektif politik.

Saya bukan maestro dalam disiplin debat, sekadar menilai daripada sudut sisi yang amatur.

Dalam disiplin debat, apa yang penting ialah ialah wujud pertentangan hujah. Hujah dilontar satu pihak dan disanggah dengan fakta oleh sebelah pihak lagi. Sekiranya lontaran hujah dan fakta tidak disambut dan dijawab, maka itu meninggalkan lompong yang besar.

Dalam perdebatan ini, beban paling besar dipikul oleh Anwar, kerana beliau menggalas tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat dan dunia, bagaimana harga minyak boleh diturunkan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

Dalam konteks ini, Anwar mendominasi ruang meskipun dari segi aturan perdebatan beliau kurang mendapat kelebihan berbanding Shabery. Anwar bertindak menjawab soalan, menghuraikan kaedah-kaedah penurunan harga minyak dengan tersusun, dan paling penting tidak lari daripada topik perdebatan.

Berbeza dengan Shabery apabila Shabery lebih banyak menumpukan isu ’sejarah Anwar’ samada sewaktu Anwar menjadi pemimpin pelajar tahun 1974 ataupun sewaktu Anwar menjadi TPM pada era 1990-an. Shabery turut mengupas mengenai kenaikan harga minyak global yang mengesani rakyat sehingga menuntut penstrukturan semula subsidi. Tetapi Shabery tidak memperincikan dengan begitu mendalam apakah bebanan kerajaan secara spesifik dan bagaimana kenaikan harga minyak ini, sekiranya tidak dikawal boleh melumpuhkan aktiviti ekonomi negara.

Shabery boleh saja mengulas bagaimana kenaikan harga minyak boleh mengurangkan kesan domino ekonomi yang memungkinkan rakyat tertindas dalam gelombang inflasi yang tidak terkawal.

Anwar berjaya mengupas bagaimana perlu pengurusan keuntungan Petronas dikawal selia dengan baik, dan perlunya konsesi IPP disemak semula untuk memberi pulangan kepada rakyat dalam bentuk penurunan harga minyak.

Disiplin asas debat mahupun pengucapan awam ialah kredibiliti, iaitu kepakaran untuk berhujah dalam isu yang didebatkan. Apabila Anwar membetulkan fakta Dr. Nordin Kardi mengenai sumber gas dan hubungkaitnya dengan IPP, itu cukup menunjukkan beliau mahir untuk berbicara mengenai topik ini.Banding beza KDNK Malaysia dan negara-negara Asia, jurang inflasi antara negara Amerika Latin membuatkan beliau berada di kedudukan tepat untuk mendebatkan isu ini. Dalam disiplin pengucapan awam, Anwar mempunyai kredibiliti untuk berdebat mengenai isu ini. Shabery kurang berhujah dalam konteks ekonomi makro nasional, sebaliknya hanya menyandarkan hujah kepada kenaikan harga minyak dunia seolah-olah Malaysia tidak mempunyai mekanisme tersendiri untuk mengurus ekonomi.

Satu yang saya sedikit canggung dengan Shabery malam tadi ialah apabila beliau mengelak soalan Zulkifli Sulong, wakil Anwar dalam debat ini mengenai ketirisan peruntukan kerajaan kepada Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) sebanyak RM4.4 billion hasil penjimatan sewaktu minyak dinaikkan 30 sen pada Februari 2006. Shabery tidak menjawab persoalan ini yang saya kira antara satu perkara yang menjadi pertikaian ramai sehingga kini. Wujud eskapisme dalam hujah Shabery khususnya sewaktu menjawab soalan Zulkifli.

Shabery membangkitkan mengenai peranan Anwar sewaktu menjadi TPM, antaranya bagaimana konsesi IPP ini dianugerahkan sewaktu Anwar menjadi TPM. Tetapi Anwar menyanggah dengan mencabar mana-mana pihak untuk membuat semakan mengenai bagaimana Tan Sri Ani Arope sanggup meletak jawatan sebagai Pengerusi TNB kerana tidak bersetuju dengan kadar yang ditetapkan oleh pemilik konsesi dan kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri.

Adalah perkara yang membingungkan apabila Shabery terlalu kerap membangkitkan isu demonstrasi jalanan dan sehingga ke satu tahap, membangkitkan isu londeh seluar dalam Perhimpunan Sejuta Rakyat anjuran Protes dan Geramm 6 Julai lepas. Saya kira ini bukan hujah yang membantu Shabery, apatah lagi dalam debat yang saya kira berprestij ini. Hujah sedemikian, jika di mana-mana kopitiam mungkin laku.

Baik, itu dari konteks fakta dan disiplin debat. Kita lihat dalam perspektif politik.

Terang lagi bersuluh debat ini memberi satu suntikan moral kepada Anwar. Anwar berhujah dengan fakta dan santai, dengan mengabaikan serangan peribadi ke atas beliau sebaliknya memfokuskan masa kepada topik perdebatan.

Harus diingat debat ini bukan debat politik, ini debat merungkai isu yang membelenggu rakyat. Ini platform untuk menjelaskan apa rasional di sebalik dakwaan yang dibuat, baik Anwar yang mahu menurunkan harga minyak ataupun kerajaan melalui hujah Shabery untuk mempertahankan kenaikan harga minyak.

Di sini, ruang dimanfaatkan Anwar untuk membentangkan kaedah-kaedah dan tidak bersimpang siur. Shabery turut mengemukakan hujah rasional tetapi rasional tersebut agak rapuh dan hanya bersandarkan kepada kenaikan harga minyak global, sebagaimana sebelumnya.

Menyerang peribadi bukan sesuatu yang ditunggu oleh rakyat yang tidak memihak. Rakyat mahu mendengar penjelasan dan fakta. Justeru adalah tidak bijak dengan mengaitkan sejarah Anwar sebagai TPM, demonstrasi Baling 1974 dan juga perhimpunan aman yang dianjur Pakatan. Anwar memilih untuk tidak melayan, sebaliknya fokus pada perdebatan walaupun adakala beliau menyinggung secara santai.

Mengaitkan keterbukaan kerajaan zaman Anwar dan zaman sekarang untuk menganjurkan debat malam tadi juga satu hujah yang silap dan memakan diri. Jika benar terbuka, kenapa tidak disiarkan secara langsung melalui RTM yang pasti boleh dicapai di kampung-kampung berbanding TV9, Astro Awani dan Bernama TV yang secara logiknya hanya jelas siarannya kalau ada Astro?

Apapun, syabas kepada kedua-dua pendebat kerana berani tampil berdebat. Cuma saya berpendapat, lebih baik debat ini, pihak kerajaan mewakilkan pakar ekonomi seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Amirsham A Aziz, ataupun PM sendiri selaku Menteri Kewangan untuk berhujah atas pentas malam tadi. Ekonomi tidak boleh disanggah secara retorik, ia memerlukan fakta dan statistik.

Tuntasnya, saya yakin, rakyat lebih arif mengadili untuk memilih jalan yang mana perlu dipilih dan dipersetujui pasca debat Anwar-Shabery.

Politik Sesumpah ver.2

Dikirim dalam Catatan, Kritik, Politik pada Julai 15, 2008 oleh admin

Ada beberapa teman yang menjangkakan tajuk ‘Politik Sesumpah’ melalui entri sebelum ini merujuk kepada Ezam.

Sebetulnya saya jelak dan muak bercakap mengenai Ezam.Bukan sekali dua saya mengulas mengenai beliau. Malah sewaktu beliau mengambil keputusan untuk keluar KeADILan dulu saya berpendirian sudah sampai masa buat KeADILan perlu bermazhabkan politik idea, bukan politik ikon.

Sekarang Ezam menjadi ayam sabung. Walaupun ceramah beliau bersama parti barunya lebih banyak kerusi daripada kepala orang,beliau tetap mahu mengaum.Sayangnya ngauman beliau ialah ngauman harimau luka yang terkurung di dalam zoo.

Ustaz Ismail Kamus dahulu selalu menyebut,harimau jika di hutan dialah raja.tapi jika di zoo,hanya jadi bahan acahan budak-budak!

Kini Ezam tampil berani. ‘Kau usik aku,aku dedah rahsia besar kau,’ demikian agaknya bisik hati beliau tatkala ramai pihak mengaitkan beliau dengan konspirasi politik ke atas Anwar Ibrahim. dan beberapa hari lepas beliau ‘meletup’ mencabar Anwar,yang mana kali ini Ezam menyatakan kesediaan beliau bersumpah mengikut kaedah Islam untuk menetang anwar habis-habisan.

Soalan saya mudah saja. boleh pakai lagikah sumpah Ezam ini? saya perlu akui,bukan sedikit ceramah Ezam yang saya ikuti.bukan sedikit kaset dan cd ceramah beliau yang pernah saya simpan.apa yang tidak pernah dikata Ezam kepada parti barunya?

Berbakul-bakul sumpah Ezam lontarkan di pentas ceramah anjuran Barisan Alternatif di era kepimpinan pemuda dan Angkatan Muda Keadilan di bawah beliau. tetapi mana satu sumpah yang boleh diguna pakai?

Beliau pernah bersumpah mahu menelanjangkan ramai politikus daripada parti barunya. Beliau pernah membuat laporan polis kepada PM dan keluarga,serta beberapa menteri kanan. 600 helai laporan pendedahan salahlaku seorang menteri kanan diserah dengan tangan oleh Ezam kepada PM untuk di bawa ke muka pengadilan. tak usah sebutlah 6 kotak yang entah wujud atau tidak di dunia realiti ini.

Saya setuju dengan sahabat saya, Amin Ahmad, isunya adalah meraih publisiti. Publisiti, sekiranya menjadi kegilaan, akan menghilangkan nilai-nilai rasional. Itulah bahayanya politik sesumpah,menukar warna mengikut selera dan upaya diri asal saja matlamat tercapai..

Justeru biarkanlah beliau. Beliau selesa dengan parti barunya. Menjadi tanggungjawab kita sebagai sahabat sesama agama untuk mendoakan yang terbaik buat beliau.

Kepimpinan tidak lebih sebagai pemandu, yang penting ialah ‘enjin’. Kepimpinan hebat, berpidato berdegar-degar tidak akan menjanjikan perjuangan yang berkesan.

Pada saya,yang perlu dijunjung adalah idea perubahan. Pemimpin akan datang dan pergi, tetapi iltizam perjuangan mesti dijadikan sandaran utama. Hatta jika Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Haji Hadi lari dari perjuangan ini, idea perubahan mesti terus.

Perubahan untuk rakyat. Untuk anak cucu kita kelak.

Debat Anwar Ibrahim vs. Shabery Cheek

Dikirim dalam Catatan pada Julai 14, 2008 oleh admin

Semoga debat ini berjaya direalisasikan dengan penuh hemah dan hikmah.

Debat bukan untuk mencari siapa menang siapa kalah. Tetapi debat bertujuan untuk merungkai kebenaran. Kita doakan ada sinar kebenaran muncul di akhir debat ini. InsyaAllah.

Politik Sesumpah

Dikirim dalam Kritik, Politik pada Julai 13, 2008 oleh admin

Hari ini, genap 3 minggu Malaysia ‘diletupkan’ - sekali lagi - dengan ‘bom liwat’. Muncullah seorang ‘wira’ baru yang mendedahkan ‘pengorbanannya’ kepada agama, bangsa dan negara kerana mendedahkan bagaimana kehormatannya dicabul secara luar tabii oleh tokoh politik yang berstatus ‘Perdana Menteri dalam penantian’, Anwar Ibrahim.

Sekali lagi rakyat Malaysia dihenyak pemikiran mereka dengan masalah baru. Belum pun mereka berjaya menstabilkan diri dengan kemelut ekonomi yang kian membungkam, minda rakyat terus jadi tidak stabil dek tuduhan bersifat separa cerdik ini.

Maka bermulalah satu siri baru sebuah ‘filem‘ ibarat kata Hishamuddin Rais.

‘Sang diliwat’ telah didedahkan gerak kerja ‘politik sesumpahnya’ yang menyusup menukar warna kulit untuk berkhidmat di Pejabat Anwar Ibrahim. Didedahkanlah gambar-gambarnya dengan orang yang bukan calang-calang. Dan tersebarlah berita bahawa beliau berhubungan dengan VVIP politik dan juga insan-insan yang yang didakwa berada di belakang konspirasi baru ini. Betul atau tidak, wallahua’lam.

Politik sesumpah ’sang diliwat’ bukan baru, malah saya sendiri merasa ‘bahang’ strategi sesumpahnya sewaktu beliau berkhidmat di Pejabat Anwar. Ia telah didedahkan oleh sahabat saya, Najwan lama dahulu, tetapi diabaikan oleh kelompok dalaman dan luaran pejabat Anwar, lantas membawa kepada berlakunya insiden ini.

Kata P Ramlee, barang yang lepas jangan di kenang. Justeru ini bukan masa untuk mereka menyesal. Pandang ke hadapan rangkalah strategi yang lebih bijak dan telus.

Kemudian konspirasi baru ini ditambahkan lagi dengan cabaran sumpah menyumpah. Yang selama ini tak berapa Islamik pun sudah mula berani melontar cabaran untuk sumpah sana sumpah sini. Kalau dahulu ‘islam dilarang dipolitikkan’ oleh pihak-pihak tertentu, hari ini mereka menjadi ‘champion’ agar Islam boleh menjadi ‘modal’ untuk saham politik mereka naik.

Yang kelakarnya, yang mencabar Anwar pun masih tergalas di bahu mereka untuk turut diheret agar bersumpah menafikan sebegitu banyak tuduhan yang berkait dengan integriti, korupsi, dan moral.

Ironinya, sepatutnya yang menuduhlah membuktikan dahulu bagaimana insiden terjadi. Kemukakan bukti, dan klimaksnya barulah tertuduh bersumpah untuk menafikan sebagai jalan akhir. Bila dah kecoh sumpah sana sumpah ini, timbullah istilah baru, ‘mubahalah’. Ada mufti kata perlu, ada mufti kata tidak perlu.

Saya menyambut baik saranan Ustaz Asri selaku Mufti Perlis. Saya memulangkan hal agama kepada yang arif.

Pun begitu saya turut percaya pada prinsip ‘a man is innocent until its proven guilty‘ yang menjadi sendi perundangan syariah. Dalam erti kata lain, buktikan pesalah itu benar-benar bersalah, kemudian ‘muhabalah’ adalah jalan akhir bagi pesalah untuk membuktikan dia teraniaya. Kelak biar Allah menentukan laknat jatuh ke bahu siapa.

Entahlah. Jujurnya saya penat dan capek. Capek dengan politik yang tidak mengendahkan keperitan rakyat di bawah.

Pun begitu perjuangan perlu terus. Perjuangan yang berkiblatkan pemulangan hak kepada yang berhak!